Mengikut kamus Dewan, fitrah berasal daripada perkataan bahasa Arab Fatara- Fitrah yang bermaksud sifat semula jadi, bakat, pembawaan atau perasaan keagamaan. Fitrah beerti tabiat atau sifat pembawaan manusia sejak dilahirkan atau kecenderungan manusia terhadap sesuatu sejak ia diciptakan. Sheikh Taqiyuddin Annabahani dalam tulisannya yang berjudul "Hakikat berfikir" menamakan fitrah itu sebagai naluri.
Secara semula jadinya manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah, iaitu bersih daripada segala dosa. Maka kedua ibubapanya mesti memainkan peranan untuk membentuk fitrah tersebut dengan acuan agama yang benar. Nabi Muhammad s.a.w bersabda " Setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Maka kedua ibubapanyalah yang meyahudikannya atau menasranikannya memajusikannya" ( riwayat Imam Bukhari).
Jadi, secara fitrahnya juga, manusia memerlukan kepada suatu peraturan yang berguna untuk mengatur hubungan sesama mereka, menjelaskan hak dan kewajipan mereka, mengatur hak dan kewajpian tersebut, jika tiada peraturan maka akan terjadi suatu kekakauan dalam masyarakat. Oleh itu yang kuay pasti akan bertindak sewenang-wenang untuk memenuhi keinginannya. Sedangkan yang lemah akan merasa dizalimi dengan kehilangan haknya. Lebih-lebih lagi apabila jiwa manusia dihiasi dengan kecintaan kepada kebendaan dan sering tunduk kepada hawa nafsu.
Dalam konteks ini, syariat islam sebagai satu peraturan hidup sangat diperlukan oleh fitrah manusia. Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Ar-Rum ayat 30 yang bermaksud " Maka hadapkanlah wajahmu (mengikhlaskan dirimu) ke arah Agama Allah. Fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada agama Allah itu, itualh agama yang lurus, tetapi kabanyakkan manusia tidak mengetahui".
Manusia juga diciptakan Allah agar ia beribadah kepada-Nya. Melakukan sesuatu yang diperintah sesuai dengan suruhanNya, meninggalkan sesuatu yang ditegah sesuai dengan larangan-Nya. Oleh itu melaksanakan tuntutan beribadah dan memenuhi kehendak syariat merupakan fitrah dalam kehidupan seseorang manusia. Begitu juga dalam bermasyarakat. Hidup bermasyarakat juga adalah menjadi fitrah dalam kehidupan manusia. Manusia mempunai pelbagai keperluan dan tidak mampu memenuhi semua kehendak dan keperluannya sendiri. Ada keperluan dipenuhi oleh orang lain. Ada pula keperluan orang lain uang dipenuhi olehnya.Allah Taala telah menciptakan manusia secara fitrahnya terdiri daripada pelbagai puak dan bangsa justeru saling kenal mengenali dan menjalinkan hubungan antara satu sama lain dalam kelompok masyarakat.
Pelbagai lagi bentuk fitrah yang telah diciptakan oleh Allah Taala dalam diri manusia, seperti kecenderungan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya, menyayangi anak-anak dan ahli keluarga, mencintai harta benda dan kesenangan dunia serta pelbagai lagi keinginan naluri yang lain. Banyak ayat Quraan dan Hadis yang menyatakan bahawa syariat Islam sesuai dan mampu diterima oleh fitrah manusia. Oleh itulah Agama Islam dikatakan sebagai agama fitrah. Sangatlah keliru apabila da yang menuduh bahawa syariat Islam itu tidak sesuai dengan fitrah manusia.
Dapatlah disimpulkan bahawa adalah:
Pertama: Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah tanpa dosa maka kedua ibu-bapanya bertanggungjawab untuk mencorakkan fitrah tersebut agar sesuai dengan kehendak Allah.
Kedua: Fitrah kejadian, kecenderungan dan keinginan manusia yang berbagai-bagai mestilah dibimbing dan dipandu dengan syariat Islam.
Ketiga: Agama Islam sangat sesuai dengan fitrah manusia. Syariatnya diturunkan Allah bertujuan untuk mendatangkan kemaslahatan bagi kehidupan manusia seluruhnya...