Tuesday, 24 July 2012

Apabila dosa menjadi perkara biasa

   Apabila kita sebut saja dosa dan pahala, pasti kita semua sedia maklum mengenainya. Sifirnya mudah, buat baik dapat pahala, buat jahat dapat dosa. Namun ada juga yang begitu ambil mudah dengan dosa dan pahala, maklumlah perkara yang tidak nampak. Atau tidak tersa apa-apa dengan dosa dan pahala disebabkan oleh terlindungnya urusan tersebut dari pandangan mata manusia. Perkara sam'iyatlah katakan. Alasan mudah, dosa dan pahala bukan manusia yang tentukan.... 

   Memang benar, dosa dan pahala yang natijahnya samada neraka atau syurga, bukan manusia penentunya. Manusia masuk syurga bukan kerana amalannya, tetapi kerana rahmat Allah. Benar sekali. Walau bagaimanapun, dalam kehidupan pasti ada keseimbangannya. Malam ada pasangannya siang, hidup ada matinya, syurga ada lawannya neraka. Begitulah juga ada perkara baik dan buruk yang natijahnya pahala atau dosa.

  Contoh yang mudah, api sebagaimana yang kita tahu, sifatnya adalah panas dan membakar. Namun ada pengecualiannya, seperti kisah Nabi Ibrahim yang terselamat sewaktu dibakar oleh Raja Namrud. Sifat api yang panas dan membakar itu, tidak terjadi lantaran diarahkan oleh Allah Taala agar menjadi sejuk, sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-Anbiya ayat 69, yang bermaksud, "Perintah kami(Tuhan): Wahai api, sejumlah kamu dan selamatkan ke atas Ibrahim". Apapun fitrah api masih kekal panas dan membakar sehinggalah ke hari kiamat. 

   Begitulah juga dengan dosa dan pahala. Ia perkara yang jelas. Melakukan perkara yang haram dan dibenci Allah itu akan mengakibatkan dosa. Melakukan perkara yang disukai Allah itu natijahnya akan dihadiahkan oleh Allah akan pahala dan syurga. Pahala membawa ke syurga, dosa membawa ke neraka. Namun ada pengecualiannya, sebab kita milik Allah dan walaupun berdosa, Allah memberikan peluang untuk hamba-Nya bertaubat selagi nyawa belum sampai di halkum.

  Sesungguhnya kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak akan dapat lari daripada dua perkara tersebut. Segala tindak tanduk kita di dunia ini akan memanifestasikan samada pahala atau dosa, sesuai dengan tujuan manusia itu dihidupkan iaitu untuk beribadah kepada Penciptanya. "Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadat kepadaKu."(Az-Zaariyat:56)

   Namun demikian, kehidupan di akhir zaman ini menyaksikan nilai dosa dan pahala seolah-olah menjadi perkara yang dikesampingkan. Perkara dosa dilakukan secara berleluasa tanpa timbul persaan takut di hati. Sebagai contoh, perbuatan mengumpat telah dimaklumi sebagai satu dosa, namun ia menjadi perkara lumrah. Begitu juga dengan fitnah, bunuh, zina, rasuah dan bermacam-macam lagi.

    Tidak terkecuali pergaulan bebas lelaki wanita. Setiap kali tiba tahun baru, anak-anak muda akan bebas keluar berpasang-pasangan ( bukan mahram) meraikan sambutan malam tahun baru. Berpesta dari tengah malam hingga ke pagi. Berkumpul seawal sebelum maghrib dan pulang selepas matahari terbit. Solat entah ke mana. Malah menurut pekerja-pekerja yang membersihkan kawasan-kawasan lepak anak-anak muda ini, kondom-kondom yang telah digunakan bersepah-sepah ditemui mereka sewaktu melakukan kerja pembersihan. Botol-botol minuman keras tidak ketinggalan ditemui. Yang nyata, mereka yang terlibat adalah anak-anak melayu Islam.

    Mengapa perkara dosa begitu senang diterima? adakah sebab ia menjadi perkara lazim yang berlaku dalam masyarakat dan seolah-olah diterima pakai, maka ia tidak lagi dianggap sebagai dosa? Atau kita sudah lagi tidak kenal yang mana dikatakan dosa dan pahala?

  Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Nawwas Bin Sam'an, " Kebaikkan adalah peribadi yang terpuji, dosa adalah apa yang bergelut dalam hati sedangkan saudara tidak mahu orang lain mengetahuinya,"

  Amatlah malang, kalau kita tidak dapat lagi merasakan getaran kerisauan dalam hati sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda s.a.w kerana ia adalah petanda bahawa jiwa kita sebenarnya sudah mati. Titik-titik hitam telah menguasai hati sehingga ia tidak lagi berfungsi dengan baik. Justeru bagaimanakah empunya diri mahu bertanya kepada hati yang menjadi penggerak samada ke arah kebaikkan atau kejahatan, jika hati sudah tidak lagi boleh memberi penilaian sucinya?

"Setiap anak Adam berbuat kesalahan dan sebaik-baik orang bersalah adalah orang yang bertaubat." (hadis riwayat Imam Tirmidzi)
 " Sesungguhnya allah menyukai orang-orang yang banyak dosa, tapi banyak bertaubat." riwayat Imam Ahmad.
Sekian....fikir-fikirkanlah.......Waallahuaa'lam....

No comments:

Post a Comment